Ticker

6/recent/ticker-posts

Jiwa Terasa Kosong,Isilah Ia Dengan Al Quran

Hidup dan jiwa terasa kosong,isilah ia dengan Al Quran

Assalamualaikum readers

Hanya yang pernah merasai tahu bagaimana rasanya apabila jiwa terasa amat kosong.Hatta hidup kelihatan lengkap dan sempurna di mata orang lain. Punya keluarga yang bahagia, isteri yang cantik, suami yang tampan, anak-anak  yang comel dan pandai, rumah mewah tersergam gah bagai istana, kereta berjenama dunia, kerjaya yang hebat ...namun jiwa terus-terusan terasa kosong dan hambar tanpa ketahuan apa puncanya.


Nah, mungkin ini lah masanya kembali kepada Allah,kembali  kepada Al Quran. Bertekun membaca, menghayati maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan hari demi hari, In Sha Allah kekosongan itu pergi tanpa kita sedari.



Kerana Al Quran itu punya "nur"  dan "roh" yang mampu menghidupkan kembali jiwa yang sepi, mengubat  jiwa yang lara, memperkasa jiwa yang putus asa dan meleraikan  jiwa yang kusut kerana terlalu penat menghambat cinta dunia.

Firman Allah pada surah al-Isra, ayat 82 bermaksud: “Dan Kami turunkan daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman...”
Al Quran kitab suci yang diturunkan sebagai petunjuk bagi orang beriman, mengandungi nilai murni pengajaran, kebenaran dan kesempurnaan. Jika dijadikan teman sejati di dunia, ia  bukan sahaja menjadikan hati lebih tenteram dan sabar, memberi kekuatan kepada jiwa dalam menghadapi apa jua cabaran kehidupan malah memberi kelapangan dalam rezeki . Di alam kubur pula ia menjadi cahaya penyuluh, menemani kita dalam kegelapan dan peguam bela yang menuntut keadilan bagi kita.

Jadi, jika hidup dan jiwa terasa kosong,isi lah ia dengan Al Quran. Kembali kepada Allah SWT dan Al Quran. Hayati setiap bait huruf,ayat dan surahnya.

** Nota cinta untuk hati yang lebih damai dan bahagia
#selfreminder

Post a Comment

0 Comments