Ticker

6/recent/ticker-posts

Resepi Kerabu Suhun Seafood Ringkas dan Sedap

Resepi Kerabu Suhun Seafood Ringkas dan Sedap

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih

Sejak blog ni ditulis, antara entry paling banyak dibaca adalah berkaitan resepi kerabu jantung pisang. Nampaknya masih ramai generasi hari ini yang suka mencuba resepi warisan yang saya fikir hanya golongan berumur sahaja menyukainya.

Resepi kerabu jantung pisang asli yang menjadi hidangan kesukaan sejak dari kecil lagi kini lebih bervariasi apabila diolah atau dicampur dengan bahan lain sebagai penambah selera. Contohnya dicampur dengan taugeh, kerang, daging, udang, isi ikan rebus, ikan sardin, pucuk paku, pucuk selom dan sebagainya. Tapi tetap tak boleh menandingi kerabu jantung pisang asli yang dimasukkan sekali perut lembu di dalamnya. Memang sedap weih

Dan inilah satu-satunya resepi wajib ada ketika kenduri kendara pada zaman dulu. Tak ada kerabu jantung pisang perut lembu tak lengkap majlis kenduri tersebut rasanya.

Ok, untuk post kali ini saya share kan pula cara membuat kerabu suhun atau lebih tepatnya resepi kerabu suhun seafood ringkas dan sedap.

Sebenarnya resepi kerabu suhun ni adalah antara menu popular di restoran masakan Thai especially di Perlis lah , yang mana bagi mereka yang dah biasa berkunjung ke negeri ini, tentu faham mengapa saya katakan demikian.

Ya, Perlis adalah antara negeri yang kebanyakan restorannya cenderung menyediakan masakan Thai. Mungkin disebabkan ia berjiran dengan negara Gajah Putih , maka bersepah lah restoran ala Thai di sini. Faktor ke dua mungkin juga disebabkan ramai tukang masak terdiri daripada warga Thailand diimport dari sana, terutamanya dari daerah Pattani.

Ok, di bawah adalah senarai bahan yang diperlukan untuk menyediakan resepi kerabu suhun seafood yang ringkas dan sedap.

Bahan Membuat Kerabu Suhun Seafood

  • 1 peket kecil suhun
  • 1 batang kecil lobak merah
  • Sotong dan udang secukupnya
  • 3 biji cili padi ( merah dan hijau untuk memberi efek warna yang menarik )
  • Sedikit kacang panjang – dipotong nipis
  • 2 ulas bawang besar - dipotong nipis-nipis
  • 1 biji tomato - dipotong dadu
  • 2 batang serai – dibuang kulit kerasnya dan dipotong nipis-nipis
  • 2-3 helai daun limau purut - dihirishalus
  • 1-2 sudu makan sos ikan
  • Sedikit perahan air limau nipis atau limau kasturi
  • Kacang tanah yang telah disangai – jika suka 
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya

Cara Menyediakan Kerabu Suhun Seafood

Didihkan air dan celur suhun ( anggaran sekitar 2 minit sahaja ). Angkat dan toskan


Lakukan perkara sama untuk sotong dan udang - Cuma ambil masa yang lebih lama agar sotong dan udang benar-benar masak dan hilang bau hanyirnya ( Saya masukkan sedikit garam semasa proses ini ) Angkat dan toskan jika sudah masak sepenuhnya.

Potong lobak merah, kacang panjang, serai,bawang besar,daun limau purut ,tomato dan cili api lalu adunkan semuanya ke dalam satu mangkuk .



Masukkan sotong dan udang yang telah dibuang kulitnya.

Masukkan suhun dan gaulkan semua sehingga bercampur aduk.

Masukkan sos ikan,air perahan limau, kacang tanah ,serbuk garam dan serbuk perasa secukupnya.

Jika inginkan kerabu suhun sedikit lembap atau berkuah, boleh tambahkan sedikit air.

Siap !




Untuk hidangan kali ini, saya tidak masukkan sos ikan kerana tiada stok di rumah. Jadi kerabu suhun kali ini lebih bersifat kemelayuan hihihi

Saya juga masukkan sedikit cuka getah makan kerana mahu menambah rasa masam hidangan tersebut. Dan kalau anda perasan saya juga masukkan sedikit bilis goreng sebagai pengganti udang dan juga sebagai penambah selera.

Bahan dalam kerabu suhun ini juga boleh diolah sendiri mengikut kesesuian dan kesukaan masing-masing. Contohnya sotong boleh digantikan dengan sosej atau isi ayam jika suka.

Kerabu suhun di restoran di sini lebih banyak menggunakan aneka sosej tetapi saya ubah suai mengikut tekak sendiri. Lagi pun encik suami memang tak makan ayam,jadi hendak tak hendak perlulah dimasukkan bahan lain.

Ok, selamat mencuba resepi kerabu suhun seafood ringkas dan sedap. Mungkin boleh dijadikan menu pembuka selera Ramadhan nanti

Share juga jika suka !


Post a Comment

0 Comments