Disember penutup tirai 2020 -tahun yang sarat dengan ujian.
Dahulu,semasa
di bangku sekolah menengah,kalimat Wawasan 2020 itu terasa begitu mengujakan.
Entah bagaimana keadaannya hidup pada tahun yang dimaksudkan. Semaju dan
secanggih manalah agaknya kehidupan manusia ketika itu. Selalu saya terfikirkan
adakah kehidupan manusia menjadi begitu moden dan maju dengan kenderaan yang
diciptakan melangkaui zaman. Atau makanan ketika itu adakah dalam bentuk kapsul
berperisa. Ada kapsul nasi,kapsul rendang dan sebagainya. Kelakar bukan ?!
Begitulah,
pemikiran pada tahap tidak matang. Tidak terlintas tentang peningkatan usia dan
pertambahan tanggung jawab. Sehinggalah kita terus membesar,dan sedar-sedar
sudah meningkat usia. Seiring dengan itu, orang yang kita kasihi beransur
menjadi tua,jatuh sakit dan kemudian pada saat yang sudah tertulis pergi
meninggalkan kita.
Awal tahun
2020, saya beralih dari tugas luar norma seorang guru perpustakaan media kepada
seorang guru biasa semula. Rentetan banyak peristiwa dan adu domba yang membawa
kepada fitnah, tugas tersebut saya lepaskan. Apa yang berlaku, biarlah rahsia.
Walaupun sedih, saya bersyukur kerana akhirnya Allah SWT mengangkat doa saya
yang tidak putus-putus sebelumnya.
Membiasakan
diri dengan tugas baharu tidak sesukar mana. Alhamdulillah !
16 Mac
2020,dua hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan buat kali pertamanya
dilaksanakan akibat penularan wabak COVID-19, duka datang bertandang. Lelakipertama dalam kehidupan kami tiga beradik dijemput Tuhan. Pergi secara
mengejut, tanpa meninggalkan sebarang
tanda dan pesan. Duka dan tidak keruan
hingga ke saat ini.
Jika saya
seorang anak terasa seperti bermimpi, emak lagi terkesan dengan pemergian ayah.
Dalam keadaan usia yang lanjut,hilang pula tempat bergantung dan mengadu tentu
sahaja sedikit sebanyak menjejaskan kesihatan. Tiada lagi dahan yang boleh emak
sandarkan kebergantungannya selain kepada anak-anak. Menghadapi emak yang sudah uzur dan menjadi lebih sensitif
daripada biasa,moga tanggung jawab ini dapat saya dan adik-adik galas sebaik
mungkin.
Kalian,begitulah
hidup. Kematian mendatangi kita pada bila-bila masa. Tidak terawal atau
terlewat walau sesaat daripada yang telah dijanjikan. Datang dalam keadaan yang
tidak kita tahu bila ,di mana dan bagaimana caranya. Semuanya rahsia besar
Allah. Moga apabila saat itu tiba, ia datang ketika kita berada di bawah
rahmat dan redha ilahi.
Lantaran
itu jugalah, hargai dan berbudilah
semahunya saat mereka yang dikasihi itu wujud di depan mata. Jangan sampai kesalan membelenggu kemudian hari.
Sebenarnya banyak lagi ujian yang mendatangi saya tahun ini. Diuji dengan keadaan salah seorang anak yang juga menghadapi masalah kesihatan, penyakit hipertiroid suami yang semakin bertambah buruk, mengambil alih tugas menyara dan menjaga emak dan adik-adik serta ujian-ujian lain memerlukan berkali ganda kekuatan. Fizikal dan mental khasnya.
Allahu
akbar .. engkaulah sebaik-baik perencana. Yang mengatur setiap sesuatu dengan
bijaksana. Moga Kau berikan aku kekuatan Ya Allah.
Kalian,ujian
kita berbeza-beza. Terasa berat tanggungan kita, nescaya ada ramai lagi yang
berdepan dengan ujian lebih hebat. Usah dihitung-hitung dan dibanding beza
kerana Dia lebih tahu apa yang lebih sesuai untuk kita. Belajar berbaik sangka bahawa setiap musibah ada sebabnya.
December,
please be kind to us. Hadirkan yang baik-baik sahaja jika boleh untuk hari-hari penghujung sebelum Januari 2021 menjengah. Moga Disember penutup tirai 2020
ini berlalu dengan membawa hikmah untuk dipelajari dan membawa cahaya yang
lebih indah di penghujungnya.
Amin .
0 Comments