Ticker

6/recent/ticker-posts

Cara Paling Mudah Buat Sup Tulang Ala Thai

Assalamualaikum readers

Ada tak yang mencari cara paling mudah buat sup tulang ala Thai tanpa pergi ke Thailand kikiki ..

Sup tulang ala Thai yang ada rasa masam-masam dan pedas memang salah satu dari kegemaran saya. Biasanya kalau outing petang hujung minggu dengan family dan singgah untuk menjamu selera di mana-mana warung, ini antara menu pilihan kami suami isteri.

Si dua beradik tu biasanya akan pilih menu nasi goreng daging black pepper atau  nasi goreng padprik tapi saya dan husband lebih kerap pilih untuk makan nasi putih bersama sup tulang ala Thai bersama telur dadar atau kailan goreng. Lidah orang lama lah katakan heeee



Dari satu segi menu ini lebih cepat sampai ke meja berbanding menu lain. Mungkin sebab sup tulang atau sup daging adalah antara menu yang sudah sedia dimasak lebih awal di kebanyakan warung atau restoran. Tinggal menunggu request dari pelanggan sahaja. Jika ada, tunggu masukkan daun sup,daun bawang, perahan limau dan bawang goreng sahaja . Telur dadar pula mengambil masa sekejap sahaja untuk disediakan.

Pengalaman menunggu nasi goreng sejam lebih tak bergoreng inilah punca sebenar mengapa menu ini yang lebih kerap jadi pilihan.

Ok, bercerita tentang sup tulang ni sebenarnya kan memang ada banyak versi. Yang ditumis, yang tak ditumis ... semua ada. Cara memasaknya berbeza-beza begitu juga dengan bahannya. Nak yang betul-betul kaw, kaya aroma dan cukup rasa rempah ratusnya, kalian boleh guna khidmat carian Mr Google saja ya. Rujuk dengan chef atau foodie blogger yang terkenal seMalaya pandai memasak. Yang saya kongsikan ni adalah versi orang tak pandai masak paling sempoi ikut citarasa den jaa ok.

Cara paling mudah buat sup tulang ala Thai yang nak saya kongsikan hari ni memang cukup mudah, cukup simple. Kalau tak sempat nak pi beli pes sup Siam, boleh je gunakan cara ini.  Cara paling mudah dan paling sesuai untuk geng-geng mak yang tak pandai memasak dan nak cepat macam den ni haaa

Apa kata, lihat dulu senarai bahan untuk resepi sup tulang ala Thai ni sebelum langkah-langkah memasaknya pula nanti.

Bahan-bahan Sup Tulang Ala Thai

  • Daging   dan tulang rusuk lembu ikut keperluan saiz hidangan
  • Perencah sup tulang bunjut brand apa-apa pun boleh je ( Saya gunakan Perencah Sup Tulang ADABI )
  • 3 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • Sedikit halia
  • Kiub pati lembu
  • Daun sup - dibersihkan
  • Daun bawang - dibersihkan
  • Cili api - dibersihkan
  • 1 biji limau nipis- dipotong nipis kepada
  • Sedikit taugeh - dicuci bersih
  • Bawang goreng
  • 1 biji tomato
  • Garam secukup rasa

Baik, dah tersedia bahannya bolehlah kita mulakan acara masak-memasak pula.

Langkah Demi Langkah Buat Sup Tulang Ala Thai Simple

  1. Bersihkan daging / tulang
  2. Masukkan ke dalam periuk bersama sedikit air ( anggaran 2 cawan sahaja ). Renehkan dengan api yang kecil sahaja. Biarkan mendidih.
  3. Tos atau buang air rebusan tulang tadi. Boleh juga disimpan sebagai stok air rebusan untuk kegunaan masakan lain yang bersesuaian.
  4. Masukkan semula tulang ke dalam periuk tadi bersama 4 gelas air. Renehkan sekali lagi hingga mendidih, juga dengan api yang perlahan.
  5. Tambah sukatan air jika air berkurangan dan daging pada tulang masih kelihatan keras ( of course la tulang tu still keras hatta ko reneh7 kali sekali pun. Yang nak dilembutkan tu dagingnya sahaja  ) . Renehkan lagi hingga mendidih
  6. Tumbuk kasar bawang putih,bawang merah dan halia lalu masukkan ke dalam periuk rebusan bersama sup bunjut dan kiub pati lembu.
  7. Rebus hingga daging menjadi lembut.
  8. Masukkan garam sebentar sebelum matikan api dapur.
  9. Potong daun sup, daun bawang, potong cili , belah tomato kepada beberapa bahagian dan buang bahagian hitam pada taugeh. Masukkan semua sayuran ini ke dalam mangkuk.
  10. Sendukkan sup tulang yang panas -panas tu ke dalam mangkuk berisi daun sup tadi.
  11. Perah limau nipis mengikut keperluan sendiri ke dalam mangkuk tersebut.
  12. Tabur bawang goreng sebagai hiasan dan pembangkit selera.

Siap dah tu semuanya. Haaa mudah je kan



Rasional saya buang air rebusan kali pertama itu adalah untuk mengelakkan sup terlalu berlemak  sebab memang den tak suka sangat kalau makan sup terasa berlemak habis di dalam mulut dan di bibir.

Rasional masukkan hanya 2 cawan air pada pertama kali dan reneh dengan api yang kecil juga adalah untuk mengelakkan daging 'terkejut' dan menjadi liat atau keras.

Bagi yang biasa makan sup siam atau sup ala Thai ni, mungkin tertanya-tanya kenapa tiada kangkung dan kacang tanah yang ditumbuk dalam menu di atas seperti kebanyakan hidangan di restoran ?

Jawapannya mudah je .. saya memang tidak suka kedua-dua bahan dimasukkan ke dalam sup tu sebab terasa sangat tidak kena dengan tekak saya . Rasanya juga jadi lain. Huhu

Ok. Jika ada yang sama citarasa begini, bolehlah cuba ye..



Post a Comment

0 Comments